Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Tuesday, June 18, 2013

 

Rekonsiliasi Nasional: Masalah, Cabaran dan Masa Depan Perpaduan Negara

Berikut adalah sedutan daripada teks ucapan penutup Seminar Rekonsiliasi Nasional yang telah disampaikan oleh Pengarah CMIWS di Hotel Grand Bluewave Shah Alam minggu lepas.
Hadirin sekalian,
Mungkin ada yang bertanya apakah makna “Rekonsiliasi” ini (atau dalam Bahasa Inggerisnya, “Reconciliation”?) Adakah ianya wujud dalam Bahasa Melayu? Jawapannya ya. Untuk makluman, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rekonsiliasi bermaksud “Perdamaian” atau “Perbaikan”. 
Maka, bertepatan dengan MAKNA “Rekonsiliasi”, penganjuran seminar yang julung kalinya diadakan ini lahir daripada keinsafan dan kesedaran bahawa perpaduan kaum di negara ini adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi, sesuatu yang tidak boleh diambil ringan atau dipandang enteng. Malahan ia merupakan komponen teras yang MENDASARI segala aspek pembangunan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan negara.
Justeru, sesuatu perlu dilakukan agar TERAS NEGARA ini – yakni perpaduan, keamanan dan keharmonian - tidak dirosakkan atau dimusnahkan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab. UiTM amnya dan CMIWS khasnya, merasa terpanggil untuk menerajui dan menganjurkan program ilmiah sebegini dalam usaha untuk memupuk dan merapatkan kembali jurang-jurang yang ada sejajar dengan tema "Rekonsiliasi Nasional".
Ini juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak sendiri yang mahu mengembalikan usaha menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, terutamanya sekali setelah berakhirnya Pilihanraya Umum ke-13 yang paling sengit dalam sejarah; PRU yang juga disebut-sebut sebagai “Ibu Segala Pilihanraya”.
Cabaran perpaduan hari ini tidak sama seperti 10, 20 tahun dahulu atau pun 50 tahun dahulu. Cabaran yang wujud pada alaf baru ini makin getir dan mencabar. Ianya wujud dan hadir dalam pelbagai cirri dan bentuk. Cabaran globalisasi dan teknologi komunikasi baru seperti Internet dan rangkaian media sosial misalnya memberikan ruang kebebasan yang hampir mutlak di mana sesiapa saja mampu untuk menyuarakan sebarang pandangan pada bila-bila masa, di mana saja. 
Justeru, barangkali suatu formula baru bersepadu REKONSILIASI NASIONAL wajar diusahakan dan direncanakan bagi memastikan matlamat dan tindakannya sesuai dan relevan dengan era teknologi maklumat dan kehendak golongan muda hari ini.
Inilah juga antara sebahagian daripada peranan kecil dan sumbangan kami di CMIWS dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian ke arah melahirkan masyarakat generasi baru yang yang lebih berilmu, matang dan progresif pemikirannya, terutamanya sekali dalam usaha untuk membantu kerajaan dalam mencapai misi dan visi Wawasan 2020, yang tinggal kurang daripada 7 tahun lagi. 


Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009