Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Sunday, February 14, 2010

 

Sebelas Tahun Dahulu...Sebuah Anekdot Perubahan Sosial 'Reformasi'

Mahathir and Anwar
"Bezanya, dulu yang mula-mula sekali menuduh Anwar ialah Mahathir, tapi kali ini 'mangsa' sendiri yang membuat tuduhan."

Kira-kira sebelas tahun dahulu, pada September 1998, ketika mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan kemudiannya ditangkap oleh pihak polis, saya masih di tingkatan tiga. Saya masih ingat lagi waktu itu perkataan ‘liwat' secara tiba-tiba menjadi begitu popular.

Liwat
Di kelas saya, yang mana majoritinya adalah pelajar-pelajar bukan Melayu, ramai yang bertanyakan "apa benda liwat tu?" Maklumlah, bagi kebanyakan mereka, itulah pertama kali mereka mendengar dan membaca perkataan itu.

Oleh sebab murid-murid Melayu tidak begitu ramai, maka saya dan kawan-kawan Melayu yang lain menjadi tempat rujuk dan tempat bertanya. Saya tidak dapat mengingati apa jawapan saya ketika itu, tapi saya fikir jawapan yang saya berikan tentulah tidak lari jauh daripada maksud "hubungan lelaki sesama lelaki".

Ada juga rakan Melayu yang tak pernah dengar perkataan liwat waktu itu. Bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kalau tidak silap saya di sekolah kebangsaan walau dalam matapelajaran Pendidikan Islam, tidak ada diajar perkara itu. Seperti kebanyakan murid-murid Melayu yang lain, majoriti daripada kami, semasa sekolah rendah, selain ke sekolah kebangsaan di waktu pagi/petang, kami turut ke sekolah agama (Sekolah Rendah Agama Darul Ehsan) di sebelah petang/pagi. Di sekolah agamalah saya mengenali perkataan liwat buat pertama kalinya.

Antara cerita yang masih saya tidak dapat lupakan sewaktu di sekolah agama ialah kisah seorang ustaz yang pernah dimarahi oleh seorang bapa murid perempuan dalam kelas saya, gara-gara ustaz tersebut mendefinasikan makna liwat secara langsung dan tidak berlapik! Hasilnya, murid perempuan tersebut, apabila pulang ke rumah langsung memberitahu bapanya bahawa ustaz tersebut "mencarut" di dalam kelas. Ha Ha! Tapi bagi murid-murid lelaki yang lain, perkara tersebut tidak memberi apa-apa kesan. Malah, ada pula yang ketawa - kerana ustaz "mencarut". Ha Ha..

Reformasi
Berbalik kepada pasca Reformasi 1998. Bertitik tolak daripada itu, hampir setiap hari perkataan liwat disebut dan dipersenda. Tidak kurang juga, nama mantan Perdana Menteri tersebut turut dipersenda. Terma-terma baru seperti, me-Anwarkan dan lain-lain, yang saya pun dah lupa muncul.

Antara kesan-kesan langsung yang lain akibat Reformasi di sekolah saya yang saya ingat ialah, pintu pagar sekolah kami pernah diconteng (vandalised) dengan perkataan-perkataan "Reformasi" dan sewaktu dengannya. Saya masih ingat lagi betapa marahnya pengetua sekolah semasa perhimpunan. Antara kata-kata beliau dalam ucapan paginya, "kalau nak sangat berpolitik, tunggu lepas habis sekolah, politiklah puas-puas".

Seterusnya, impak dan kesan Reformasi adalah amat jelas dirasai sampai ke dalam bilik darjah. Seolah-olah seperti wujud satu garisan baru telah diwujudkan di kalangan rakan-rakan yang mempunyai kesedaran politik. Sama ada anda orang Anwar atau orang Mahathir. Tidak ada jalan tengah. Buat pertama kalinya, hubungan persahabatan digariskan secara politik. Sama ada kau orang Anwar atau orang Mahathir. Walaupun waktu itu kami masih berkawan, tetapi tentu sekali ianya tidak sama seperti sebelumnya. Masing-masing cuba "menegakkan kebenaran", "menentang kezaliman". Apa yang pasti, saya percaya pandangan politik rakan-rakan, termasuk saya, sebenarnya hanyalah cerminan pandangan politik ibubapa kami. Kalau ibubapa kami cenderung pro-Anwar, maka anak-anaknya pun ikut sama, kalau cenderung pro-Mahathir, maka pro-Mahathirlah anak-anaknya.

Sosio-Politik
Kesan sosio-politik daripada pemecatan Anwar Ibrahim memang hebat. Saya percaya saya tidak keseorangan. Impaknya dirasai oleh kebanyakan teman-teman. Ramai di kalangan kawan-kawan yang sebelumnya tidak begitu peduli tentang hal politik dan negara, terus berubah. Timbul kesedaran politik nasional yang jelas waktu itu.

Pelekat-pelekat kereta berwajahkan Anwar Ibrahim dan logo-logo parti pembangkang makin banyak kelihatan. Kaset-kaset dan video ceramah PAS termasuk kaset Dr. Haron Din dan pemimpin-pemimpin gerakan Reformasi makin berleluasa, terutama sekali pada waktu solat Jumaat. Ketika itu adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa memiliki video ceramah Anwar Ibrahim. Saya juga pernah menonton salah satu video tersebut, secara haram. Zaman itu adalah zaman sebelum Youtube, Facebook dan Twitter, di mana pihak kerajaan masih berkuasa untuk menangkap sesiapa yang mempunyai atau menyimpan video haram tersebut

Di Subang Jaya tidak kurang hebat juga, khutbah Jumaatnya kadang-kadang diselitkan tema-tema politik pembangkang. Pernah di suatu Jumaat, sebelum khatib memberikan khutbah, sempat juga dia menyeru untuk "undilah Barisan Alternatif". Di Subang Jaya juga, antara kesan penting daripada pemecatan Anwar ialah penubuhan PAS cawangan Subang Jaya. Di kalangan parti-parti politik pembangkang, PASlah yang mendapat keuntungan paling besar semasa pilihanraya ke-10 tahun 1999, akibat daripada pemecatan Anwar.

Di pihak UMNO, antara isu yang sering dijaja ialah petikan kenyataan pemimpin PAS, Mat Sabu dalam sebuah majalah (ketika itu Anwar masih Timbalan PM), yang mana beliau melabel Anwar sebagai "al-Juburi" di dalam sebuah temubual majalah, ketika Anwar masih Timbalan Perdana Menteri.

Demonstrasi jalanan - yang dilihat di kaca televisyen - menjadi suatu trend baru. Seingat saya, itulah pertama kali saya melihat demonstrasi jalanan di Malaysia. Walaupun Anwar bukan idola saya, tapi apa yang pasti, Anwar tetap mempunyai aura dan tarikan tersendiri. Kalau tidak, masakan ribuan demonstran, terutama anak-anak muda sanggup turun ke jalanan.

Sastera Politik
Satu lagi kesan penting pemecatan Anwar dan gerakan Reformasi ialah terbitnya banyak buku-buku politik pop yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Antara penulis-penulis yang popular adalah seperti Mohd. Sayuti Omar, Lutfi Othman, Syed Hussein Al-Attas atau Pak Habib dan lain-lain lagi. Lantaran daripada itu saya terus menjadi peminat Syed Hussein Alatas atau lebih dikenali sebagai Pak Habib. Buku-buku beliau nyata laris.

Tapi sejak beberapa tahun selepas itu, dengan wujudnya media-media alternatif dan blog, pembacaan saya lebih terbuka, dan saya melihat buku-buku Pak Habib tidak lebih seperti buku-buku Ahadiat Akashah - tetapi versi politik. Bercakap soal buku politik pop, tentu sekali novel paling panas ialah novel Shahnon Ahmad - Shit. Sehinggakan novel tersebut dicetak rompak berkali-kali. Ketika itu pendirian saya jelas. Walaupun berkongsi nama dengan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, namun saya kecewa sastera Melayu diselitkan perkataan lucah.

Akhir kalam, peristiwa sebelas tahun dulu yang mana telah meletakkan batu asas kepada keputusan pilihanraya bersejarah 8 Mac 2008, kini berulang semula pada bulan Februari 2010. Bezanya dulu yang mula-mula sekali menuduh Anwar ialah Mahathir, tapi kali ini "mangsa" sendiri yang membuat tuduhan. Sama ada benar atau tidak, sama ada skrip akhirnya sama atau tidak, sama-sama nantikan.

----------
Nota kaki: Ketika blog ini ditulis Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi berhadapan dengan tuduhan liwat kedua, yang mana beliau berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika bersalah.

Artikel blog ini telah diterbitkan buat pertama kali di laman portal Klik4Malaysia.com pada 8 Februari 2010.

Labels: , ,


Comments:
tahun 98 99 time tu aku form 5...memnag teruja ...sebelum tu tak pernah tengok orang berdemonstrasi...masa di perhentian bas depan kota raya aku dapat satu iklan kecik jer...perhimpunan di masjid negara, masjid india dan jalan tar...ketiga2 dibuat dalam masa satu hari...masa di masjid negara nampak polis berkuda...di masjid jamek fru berbaris kemudian bergerak sambil mengetuk shield kearah pendemonstrasi..bertabur lari pastu di jalan tar(dekat ngan sogo menghala ke dataran) kat situ ramai yang menyanyi lagu parajurit tanah air...kemudian datang van kementerian penerangan...suruh bersurai...kelihatan sogo ditutup + ada orang kat dalam terkulat2 melihat kat luar...di sekolah ada sorang member aku bangsa india cerita...dia dapat duit dari seorang pakcik pakai baju kot siap briefcase penuh dengan duit...dapat 150 untuk buat hal selama 3 hari...dia siap rampas dan hempas kamera seorang juru gambar sebab cameraman tu amik gambar diar...di sekolah pengetua suruh budak2 berbaris untuk buat pengecaman siapa yang terlibat dalam demonstrasi tu...
 
Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman saudara. :)
 
Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009