Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Thursday, March 25, 2010

 

Politik Baru dan Kepercayaan Rakyat

Ringkasnya, politik baru adalah politik yang berorientasikan kekuatan informasi, kepelbagaian idea dan lontaran hujah.

Barack ObamaPasca pilihanraya ke-12 tahun 2008, antara ungkapan politik yang sering disebut dan diulang-ulang oleh para politikus, wakil rakyat, ahli akademik, pemimpin pendapat (opinion leaders) dan pemimpin masyarakat adalah; perubahan, harapan, rakyat sana, rakyat sini, me-rakyat-kan itu dan ini, politik baru, media baru, market-oriented politics, (pinjam istilah Tuan Nobisha), bottom-up politics dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Bak kata Perdana Menteri, era kerajaan tahu segalanya telah berakhir (The era of government knows best is over). Seperti mana buku tulisan pendokong kuat globalisasi Thomas Friedman, 'The World is Flat', sifat politik baru juga begitu.

Globalisasi tidak hanya tertumpu pada aspek ekonomi dan perdagangan semata-mata, tetapi juga melibatkan politik. Kita telah beralih ke zaman politik baru. Politik baru bermaksud pengurusan politik yang rata (flat).

Politik baru ini telah mengubah sistem politik lama daripada bersifat top-down atau multilevel kepada sistem yang rata. Dalam politik baru, suara dan pendapat pemimpin bawahan atau golongan minoriti diberi lebih perhatian.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan politik baru? Politik baru adalah politik berorientasikan informasi. Politik baru adalah politik tentang idea. Politik baru adalah politik hujah. Politik baru adalah politik bottom-up dan bersifat dua hala. Politik baru adalah politik memberi harapan (hope), bukannya menjual ketakutan (fear).

Politik baru adalah perang idea dan hujah (Information Warfare). Dalam politik baru, hujah siapa yang lebih kuat, dia menang. Bukan sekadar hujah siapa semata-mata, tetapi hujah siapa yang lebih banyak, dia menang. Dalam politik baru, rakyat lebih bijak memilih informasi. Rakyat memilih dan menentukan sendiri apa yang hendak dipercaya dan apa yang tidak mahu dipercayai.

Dalam politik baru, isu atau persoalan pokoknya bukanlah di antara betul atau salah. Tetapi kebenaran siapa yang hendak dipercaya? (The question is not only 'is it true?' but 'whose truth is it?)

Sebagai contoh, pendokong-pendokong Reformasi akan tetap tidak percaya bahawa Pemimpin Agung mereka terlibat dalam skandal seks luar tabii, dalam pada masa sama mereka percaya bahawa Perdana Menteri terlibat dalam pembunuhan seorang model keturunan Mongol. Begitu jugalah sebaliknya dalam hal penyokong-penyokong parti pemerintah.

Politik baru juga adalah politik berasaskan teknologi. Makna kata, siapa yang lebih menggunakan teknologi (Internet dan media baru) maka merekalah yang lebih menonjol. Frasa 'menggunakan teknologi' di sini bukan bererti dengan hanya mewujudkan akaun Blog, Facebook atau Twitter semata-mata, tetapi apa yang penting adalah partisipasi atau penyertaan.

Ramai yang terlupa bahawa walau sehebat mana pun sesuatu teknologi itu, media sosial umpamanya, ianya tidak lebih hanyalah alat komunikasi baru. Manusialah yang harus memberi nafas dan menggerakkan alat tersebut bagi mencapai sebarang matlamat politik. Teknologi Internet boleh diibaratkan dengan keris Melayu atau pedang Samurai, yang tentu sekali tidak ada makna jika ianya digunakan oleh peninju kickboxer Amerika ataupun ahli gusti Russia.

Justeru, mana-mana ahli politik yang tidak tahu atau tidak kenal arus perubahan yang sedang bergerak ini, maka ketinggalanlah mereka. Ringkasnya, politik baru adalah politik yang berorientasikan kekuatan informasi, kepelbagaian idea dan lontaran hujah.

Seterusnya, jika kita berbicara tentang politik baru, tentu sekali ada politik lama. Apakah jenis dan bentuk politicking yang sudah ketinggalan?

Salah satu contoh politik lama yang masih diamalkan dan dipercayai oleh sesetengah pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional ialah mempercayai bahawa hanya dengan bekerja, memberi khidmat masyarakat kepada rakyat, maka rakyat akan kembali menyokong. Ini adalah pandangan politik lama.

Suka tidak suka, kalau buat kerja rakyat tak nampak, tiada guna. Suka tidak suka, politik baru adalah politik nasional. Politik tempatan adalah politik nasional. Maka, siapa saja yang bermimpi atau sedang memasang angan-angan untuk menjadi calon pilihanraya negeri atau parlimen, maka anda harus tahu isu-isu nasional. Menjadi wakil rakyat seharusnya menjadi ahli politik, maka fokus kerja haruslah lebih berat kepada politik (bukan politicking), bukannya sebagai aktivis masyarakat, pegawai sosial ataupun seperti aktivis NGO.

Namun demikian, walaupun telah disebut politik baru itu berorientasikan informasi, idea, hujah dan teknologi, tetapi "unsur-unsur lama" seperti persepsi dan sentimen masih penting. Malah lebih daripada itu, ianya adalah modal terpenting buat propagandis politik.

Nah, di sinilah letaknya peranan kekuatan informasi, kepelbagaian idea dan hujah, kerana tahap kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sesuatu isu adalah bergantung kepada sejauh mana kuatnya idea dan hujah yang secara langsung atau tidak langsung membentuk dan mencorakkan persepsi masyarakat atau sentimen umum.

------------------------
Artikel blog ini diterbitkan buat pertama kali di ruangan 'Blog' Klik4Malaysia.com

Labels:


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009