Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Thursday, May 6, 2010

 

Kemiskinan dan Pekerja Asing

Kerajinan dan kesungguhan para pekerja asing tak kira dari Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar atau Vietnam mencari nafkah di bumi Malaysia adalah suatu perkara yang memang diketahui ramai. Umum tahu bahawa kebanyakan daripada pekerja atau buruh-buruh asing ini datang dengan bekerja di sektor-sektor yang tidak dipandang oleh kebanyakan rakyat Malaysia, iaitu di sektor-sektor 3D (bukan animasi 3D); dirty, dangerous & difficult.

Walaupun demikian, mengetahui hal tersebut secara sekilas pandang tentu sekali tidak sama dengan mengetahui cara hidup dan rutin kehidupan mereka secara mendalam. Perkenalan secara tidak formal saya dengan beberapa pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia selama beberapa tahun telah memberikan kesedaran dan pengetahuan yang bermakna tentang cara hidup dan cabaran mereka di perantauan.

Tadi saya sempat ke kedai gunting rambut di kedai yang biasa saya kunjungi sejak dari zaman sekolah lagi. Tapi 'kunjungan' kali ini sedikit berbeza sebab tukang gunting itu pekerja baru. Kebetulan tukang gunting rambut itu peramah pula orangnya, bertanyakan saya itu dan ini. Mula-mula malas hendak layan sebab tak ada mood.

Sembang punya sembang tak sangka bahawa dia adalah warganegara India asal dari Chennai. Tak sempat nak tanya nama dia. Terkejut bercampur kagum juga sebab kepetahan bahasanya tak jauh beza dengan gaya sebutan dan percakapan kebanyakan kaum India Malaysia.

Lebih terkejut bila dia beritahu yang dia baru 8 bulan menginap di Malaysia! Lantas, saya tanya dia, berapa lama ambil masa belajar bahasa Melayu? Dia tak jawab terus, tapi katanya "bahasa Malay" senang saja. Tak susah. Dia belajar bahasa Melayu sesama rakan-rakan sekerja saja. Dia mungkin keliru sedikit dengan pertanyaan saya, sebab dia jawab yang dia tak pergi sekolah pun belajar cakap Melayu.

Katalah dia mengambil masa 8 bulan untuk belajar bahasa Melayu, saya kira kecekapan bahasanya mungkin jauh lebih baik daripada sesetengah rakyat Malaysia sendiri yang belajar bahasa Melayu di sekolah selama 11 tahun (6 tahun di sekolah rendah, 5 tahun peringkat menengah).

Daripada hal bahasa, saya beralih cerita tentang pengalaman hidupnya di Malaysia. Dia berumur 22 tahun. Sudah 5 tahun bekerja sebagai tukang gunting! Katanya lagi, sejak umurnya 13 tahun dia sudah belajar menggunting rambut. Umur 15 tahun, dia sudah jadi 'pakar' gunting rambut. Tapi dia hanya mula bekerja sebagai penggunting rambut setelah tamat persekolahan.

Ini tidaklah menghairankan sangat sebab guru dia ialah bapanya sendiri. Bapanya mempunyai sebuah kedai gunting rambut di Chennai. Di situlah "sekolah gunting rambutnya" di mana dia dididik secara intensif selama lebih kurang 3 bulan oleh bapanya.

Tapi katanya upah gunting di sana terlalu murah. 80 sen satu kepala! Bayangkan, di Subang Jaya satu kepala saja RM10. Bayangkan.

"Kalau di Chennai, macam mana nak tanggung dua orang adik, mama, rumah lagi dan kos-kos lain." katanya.

Saya tanya dia, boss ada kasi cuti tak? Sebab saja saya ingin tahu layanan majikannya. Ringkas saja dia jawab; Buat apa mau cuti? Kerja lagi baik. Tapi dia jawab juga, boss bagi cuti sehari dalam 2 minggu. Majikannya turut menyediakan rumah sewa dan makan minum. Pendek kata, semuanya lengkap.

Saya tanya lagi, duduk di Chennai atau di Malaysia lebih bagus? Tanpa segan silu, dia jawab, tentu sekali Malaysia. Sebabnya mudah. Di Malaysia, lebih mudah cari makan. Gaji pula jauh lebih tinggi. Tambahnya lagi, di Malaysia gajinya RM850 sebulan. Hampir setiap boleh simpan RM600 untuk dihantar pulang setiap bulan kepada keluarganya. Anda bagaimana? Kadang-kadang kita nak simpan 30% daripada gaji sendiri pun susah. Habis dibelanja sana sini.

Dia pula sibuk tanya saya ada girlfriend ke? Saya tanya dia balik. Dia kata, kalau ada girlfriend, tentu sekali dia tak datang Malaysia. Tujuannya ke Malaysia hanya satu - mencari sebanyak mungkin wang untuk menyara keluarganya.

Saya fikir banyak yang rakyat Malaysia boleh pelajari daripada kisah-kisah pekerja asing di Malaysia. Semuanya menceritakan tentang nilai-nilai moral positif: berkorban, Kerja kuat, bersungguh-sungguh..

Kadang-kadang cerita-cerita sebegini membuatkan saya tertanya-tanya betapa maha ironisnya di kala pekerja-pekerja asing berduyun-duyun datang ke Malaysia, tapi rakyat kita sendiri ramai yang menganggur! Ketepikan seketika soal rakyat kita yang tak mahu bekerja di sektor 3D seperti disebut di atas, dan lihat dari perspektif makro.

Jangan tanya kenapa atau apa puncanya. Tapi tanya, kalau pekerja asing boleh bekerja bersungguh-sungguh, belajar bahasa asing dalam masa begitu singkat dan mampu berjimat sebegitu banyak, kenapa kita tak boleh?

Bukanlah niat saya ingin menyeru rakyat Malaysia menceburi sektor-sektor 3D, tetapi iktibar, moral dan semangat yang boleh dipelajari daripada para pekerja asing, yang mana kalau digunakan dan diaplikasikan, tentu sekali kita juga boleh berjaya dalam apa jua bidang sekalipun.

Nota: Mana-mana kritikan dan pandangan dalam blog ini turut ditujukan kepada diri sendiri sebagai peringatan dan pelajaran.

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009