Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Tuesday, September 7, 2010

 

Kontroversi Iklan Hari Raya TV3

Asalnya saya tidak berniat hendak membuang masa untuk menulis panjang lebar tentang kontroversi iklan Hari Raya TV3 bertajuk "Sinari Lebaran" yang telah pun ditarik balik siarannya. Ramai telah memberikan komen dan ulasan tersendiri tentang iklan Hari Raya TV3 tersebut di blog dan Facebook. Tetapi atas niat untuk mengaktifkan kembali blog ini saya turut terpanggil untuk menulis pandangan saya.

Sebelum saya mulakan tulisan ini saya telah ikuti beberapa penulisan pro dan kontra di laman-laman blog dan media sosial tentang isu ini, dan daripada pengamatan saya telah wujud dua jalur pemikiran yang kuat dalam isu ini yang membuatkan pandangan saya agak terasing daripada kumpulan A dan B.

Dua jalur pemikiran tersebut adalah; Pertama, kumpulan penyokong teori konspirasi Illuminati dalam iklan. Kedua, kumpulan yang membantah teori konspirasi dalam iklan tersebut.

Pandangan saya ringkas. Saya membantah iklan tersebut atas faktor-faktor pemahaman dan penggunaan metafora budaya yang salah lagi jahil. Tak ada kaitan apa pun dengan Illuminati ke Freemason ke apa. Penggunaan metafora adalah lazim dalam mana-mana iklan. Betul, tafsiran dan pemahaman sesebuah iklan itu adalah berbeza mengikut individu. Tetapi, penggunaan metafora dan simbol dalam "Sinari Lebaran" adalah jelas tak kena dalam menggambarkan agama Islam ataupun budaya Melayu-Muslim itu sendiri.

Secara umumnya apa yang dapat dilihat ialah cubaan mempelbagaikan agama dalam iklan Hari Raya tersebut. Sekejap macam Krismas, sekejap macam perayaan agama Buddha. Contohnya babak beca terbang - mirip kenderaan Santa Claus dan bunga teratai - simbol yang dekat dengan agama Hindu dan Buddha. Mungkin ada yang kata, apa salahnya? Jawapan saya, tak adakah simbol-simbol atau metafora lain yang lebih jelas unsur Islamiknya, setidakpun yang ada unsur Melayunya?

Apa rasionalnya Santa Claus dan kenderaannya itu hendak diMelayukan? Bersongkok berbaju Melayu, mengacau dodol, ini semua dah ok. Tapi bila babak kacau dodol dicampuraduk dengan bunga teratai yang bercahaya? Apa maknanya? Caca marba.

Kenapa bunga teratai bercahaya dan teratai mekar yang dipilih walhal ada banyak lagi simbol-simbol Islamik atau simbol keMelayuan yang boleh digunakan? Di mana logik dan rasionalnya bunga teratai mekar dan bercahaya itu sebagai metafora Islam atau Melayu? Yang jelas bunga teratai lebih sinonim dengan Hindu atau Buddha. Itu saja.

Mungkin ada yang kata kreativiti, tapi pada saya ia lebih kepada kurangnya fahaman tentang budaya. Atau mungkin pengarah iklan tersebut hendak meng-1Malaysia-kan iklan tersebut, tapi bila mana ia melibatkan soal kaum dan agama, tentu sekali ada batas-batas dan sensitiviti tertentu yang perlu difahami dan dihormati. Umpamanya, tidakkah pelik kalau ada simbol anak bulan atau tema kehijauan atau simbol ketupat dalam iklan Tahun Baru Cina? Tentu sekali pelik dan tak sesuai.

Dalam pada masa saya sama menolak teori-teori konspirasi Illuminati mengarut dicadangkan oleh seorang blogger. Oleh sebab blog Kalamul Haqq (aulakalimah.blogspot.com) dijadikan rujukan utama bagi pendokong teori Illuminati, maka tidak boleh tidak, saya terpanggil untuk membuat ulasan terhadap analisanya. Maaf, tetapi tafsiran dan analisa iklan "Sinari Lebaran" oleh Kalamul Haqq bagi saya adalah agak keterlaluan dan memalukan.

Umpamanya, buku dalam iklan tersebut dengan mudah disamakan dengan kitab Bible? Aduh.. Malam yang gelap - Islam mundur? Sangkar burung - simbol manusia yang terkurung dengan ajaran Islam?? Lelaki rambut putih pula dengan mudah disamakan dengan Pope, mentol sebagai simbol pencerahan/Iblis, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai tapak Illuminati, dan lain-lain teori-teori dangkal dan lemah. Ini bagi saya tafsiran yang agak keterlaluan.

Kita tidak perlukan teori-teori yang sebegini untuk membantah iklan tersebut. Bercakap tentang teori konspirasi, teringat pula kepada Presiden MCA Dato' Seri Chua Soi Lek, yang pernah berkata "conspiracy theories sell well". Betul juga! :-)

Bagi saya apa yang silapnya ialah pihak produksi tidak peka atau ignorant dalam hal agama-budaya Muslim-Melayu. Ini samalah seperti kejahilan (yang sengaja atau tak sengaja) produksi filem Zoolander yang menggambarkan Perdana Menteri Malaysia sebagai bukan saja seorang berbangsa Cina tetapi memakai pakaian tradisional Cina (seperti Maharaja China). Memang kita boleh kata tak ada apalah sangat. Tapi nampaklah kebodohan pengarah dan penerbit filem itu. Kalau orang yang tak kenal Malaysia mungkin akan fikir negara Malaysia letaknya di China atau Taiwan.

Keduanya adalah tentang sikap masyarakat kita dalam berhadapan dengan sesuatu isu. Apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu khususnya, mengingatkan saya kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah ketika beliau berucap di sebuah program di UiTM beberapa ketika dulu, yang mana beliau bersyarah tentang "penyakit allergic" atau pemikiran allergic di kalangan masyarakat.

Apa benda penyakit allergic ni? Beliau memberikan contoh bahawa masyarakat kita "seperti tidak boleh berfikir", atau belum boleh berfikir secara kritis. Kita terlalu cepat mengambil sikap A atau B. B atau A. Betul atau salah. Jalan atau undur. Itu saja. Walhal tidak semua perkara dalam dunia ini tertumpu kepada A dan B semata-mata. Inilah penyakit allergic menurut Dato' Saifuddin Abdullah - salah seorang intelektual yang masih wujud dalam parti UMNO kini.

Samalah halnya dalam kes iklan TV3 ini. Ramai antara kita membantah atau menyokong tanpa usul periksa atau penelitian mendalam. Maka hasilnya, kumpulan-kumpulan yang membantah iklan tersebut lebih tertarik dengan idea-idea Illuminati yang dibesar-besarkan. Dan reaksi balasnya, kumpulan satu lagi hanya menyokong/tidak membantah iklan tersebut bersandarkan hujah-hujah dangkal yang diberikan oleh kumpulan "pro-Illuminati" tanpa cuba memahami kenapa iklan tersebut dibantah dan ditarik semula siarannya.

Ok, artikel ini tak mempunyai penutup kerana penulis sudah kesuntukan masa.
Sekian.

Salam Ramadhan..

Labels: , ,


Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



Links to this post:

Create a Link



<< Home

Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009