Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Monday, September 17, 2012

 

Berita Harian: Saluran TV ikut etnik lebarkan lagi polarisasi kaum

Wartawan Berita Harian yang hadir ke Seminar Antarabangsa WCIT 2012 di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak pada 12 September 2012 lalu telah (tanpa saya sedari dan tanpa dimaklumkan) melaporkan pembentangan kertas kerja saya seperti berikut:

Percambahan saluran televisyen mengikut budaya dan etnik ketika ini, terutama menerusi stesen berbayar dikhuatiri akan menjarakkan lagi polarisasi kaum di negara ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shahnon Mohamed Salleh, berkata ia kerana penonton televisyen biasanya lebih berminat untuk menonton rancangan yang sesuai dengan budaya dan cara hidup masing-masing, sekali gus tidak mendedahkan mereka dengan budaya kaum lain. Beliau memberi contoh, pelajar yang belajar di sekolah jenis kebangsaan di peringkat rendah dan menengah serta menyambung pengajian di universiti di Taiwan dan China, manakala di rumah hanya menonton rancangan bersesuaian dengan bahasa, identiti dan cara hidupnya.

Justeru, mereka tidak ada interaksi dengan bahasa, budaya dan cara hidup kaum lain, katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pengasingan Budaya Dalam Rangkaian Televisyen dan Kesannya Terhadap Pemahaman Antara Budaya: Kajian Kes Terhadap Astro di WCIT 2012 di sini, semalam.

Shahnon berkata, kurang pemahaman memahami budaya kaum lain terutama dalam kalangan generasi baru boleh merencatkan usaha menyatukan pelbagai kaum dalam masyarakat majmuk.

Beliau bagaimanapun berkata, sukar untuk menyalahkan rangkaian televisyen semata-mata kerana pihak berkenaan sebagai agensi swasta berpaksi kepada komersial dan keuntungan iaitu menyediakan rancangan yang boleh menarik ramai penonton.

Berikutan itu, Shahnon menyarankan rangkaian televisyen menambahkan rancangan sama ada drama atau dokumentari yang lebih bersifat 'Malaysia', agar tidak terperangkap dengan kesilapan era British yang melakukan pengasingan kaum sehingga mengurangkan interaksi antara rakyat.

Berita Harian: Saluran TV ikut etnik lebarkan lagi polarisasi kaum


Terima kasih Berita Harian. :)

Labels: ,


Tuesday, October 11, 2011

 

Pohon Komunikasi

Sekadar berkongsi. Berikut adalah petikan daripada teks ucapan Dekan yang telah saya sediakan sempena Syarahan Perdana Profesor Pelawat, Prof Dr Nina dari Universitas Padjajaran, Indonesia.

----------

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dunia komunikasi hari ini berkembang dengan kadar yang amat pesat sekali. Sama ada secara langsung ataupun tidak, hal ini terjadi akibat daripada pesatnya perkembangan teknologi di dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan. Secara perbandingan, jika televisyen suatu ketika dulu mengambil masa 13 tahun untuk mencapai jumlah 50 juta penonton, Internet hanya memerlukan 4 tahun sahaja untuk mencecah 50 juta pengguna.

Namun begitu, kehadiran teknologi media baru ini tidaklah semuanya indah belaka. Cabaran dan masa depan dunia komunikasi sosial diramal menjadi lebih mencabar dengan kehadiran pentas komunikasi yang serba bebas seperti laman jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter misalnya. Walaupun terdapat banyak kebaikannya, tetapi ia juga mampu memberikan impak yang negatif jika medium itu disalahgunakan.

Dalam dunia akademik dan penyelidikan pula, sejak daripada awal hingga ke penghujung kurun ke-20, daripada Lippmann ke Lazarsfeld ke Lasswell dan lain-lain, kita dapati bahawa hampir ke semua penemuan-penemuan di dalam ilmu komunikasi telah dipelopori dan diterajui oleh para intelektual dan sarjanawan dari negara-negara Barat. Kita tidak menafikan sumbangan golongan intelektual ini malah kita menghargai sumbangan tokoh-tokoh tersebut, tetapi dalam pada masa yang sama, persoalan yang wajar ditanya ialah, sampai bila kita hanya ingin menjadi pengikut?

Mungkin sudah sampai masanya para intelektual di sebelah Timur amnya, dan intelektual-intelektual muda di negara kita khususnya, melihat dengan lebih jauh ke depan untuk menerajui penemuan-penemuan baru di dalam bidang komunikasi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Syarahan Perdana yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media pada hari ini, yang akan disampaikan sebentar lagi oleh Prof Dr Nina adalah bertujuan untuk memberikan satu pandangan atau perspektif baru dalam ilmu dan falsafah komunikasi. Berbekalkan dengan pengamatan, penglibatan dan penyelidikan dalam ilmu komunikasi selama lebih 4 dekad, beliau akan merungkai dan membahas ilmu dan falsafah komunikasi daripada pecahan akar, dahan dan rantingnya, atau seperti mana yang beliau namakan, ’Pohon Komunikasi’.

Saya juga turut dimaklumkan bahawa antara kandungan terpenting di dalam pohon komunikasi itu yang akan dikongsi dengan lebih terperinci di dalam syarahan beliau ialah hubungkait antara ilmu komunikasi dengan ilmu-ilmu daripada disiplin sains; seperti sains tulen dan teknologi. Beliau juga akan menjelaskan dengan lebih mendalam bahawa sesungguhnya ilmu komunikasi itu sifatnya adalah berakar daripada ilmu-ilmu sains, seperti biologi, fizik, matematik dan sebagainya.

Maka, bagi tujuan mengisi dan berkongsi ruang ilmiah ini bersama warga akademik dan pelajar Pasca-Sarjana dan Sarjana UiTM, pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM mengambil inisiatif untuk menganjurkan syarahan perdana ini yang antara lainnya akan membicarakan falsafah dan ilmu komunikasi atau pohon komunikasi menurut pengamatan dan penglibatan Prof Dr Nina.

Labels: ,


Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009