Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Friday, May 10, 2013

 

Sinar Harian - CyberSecurity: Keselamatan alam siber negara terkawal

Hasil daripada wawancara ringkas bersama wartawan Bernama 3 hari sebelum Pilihanraya Umum ke-13 2013. Terdapat sedikit salah tafsir daripada apa yang saya cakap dengan apa yang wartawan lapor. Baru faham sedikit sebanyak kenapa kadang-kadang ahli politik sentiasa menyalahkan pihak media atas alasan, "salah petik" atau "salah tafsir". Ha ha.

4 Mei 2013 KUALA LUMPUR - Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) ini, namun CyberSecurity Malaysia memberi jaminan ia berada di tahap terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Aminuddin Abdul Wahab berkata pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.

"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari Internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama di sini.
Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
“Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan ‘share’, ‘like’, atau ‘forward’ maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah,” jelas Aminuddin.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Shahnon Mohamed Salleh berkata agak sukar untuk meramalkan sama ada akan berlaku serangan siber pada proses pengundian esok (5 Mei), namun kemungkinan serangan siber tidak hanya menyerang media sosial seperti Facebook dan Twitter tetapi juga e-mel.

"Objektif mereka melakukan serangan siber ini untuk 'melumpuhkan' sesuatu perisian bagi menyekat penyebaran maklumat supaya masyarakat tidak dapat memperoleh maklumat yang sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau turut menjadi sasaran serangan siber adalah e-mel yang bertujuan untuk 'mencuri' maklumat daripada ahli-ahli politik yang menjadi sasaran utama.
Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.

Pengguna Internet boleh melapor sebarang insiden keselamatan siber kepada Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity secara atas talian melalui emel cyber999@cybersecurity.my atau laman sesawang .


Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menelefon hotline 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +6019-2665850 (kecemasan - 24 jam), melalui pesanan ringkas dengan menaip , dan hantar ke 15888 atau faks ke +603 8945 3442. - Bernama


CyberSecurity: Keselamatan alam siber negara terkawal

Labels: , ,


Tuesday, October 11, 2011

 

Pohon Komunikasi

Sekadar berkongsi. Berikut adalah petikan daripada teks ucapan Dekan yang telah saya sediakan sempena Syarahan Perdana Profesor Pelawat, Prof Dr Nina dari Universitas Padjajaran, Indonesia.

----------

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dunia komunikasi hari ini berkembang dengan kadar yang amat pesat sekali. Sama ada secara langsung ataupun tidak, hal ini terjadi akibat daripada pesatnya perkembangan teknologi di dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan. Secara perbandingan, jika televisyen suatu ketika dulu mengambil masa 13 tahun untuk mencapai jumlah 50 juta penonton, Internet hanya memerlukan 4 tahun sahaja untuk mencecah 50 juta pengguna.

Namun begitu, kehadiran teknologi media baru ini tidaklah semuanya indah belaka. Cabaran dan masa depan dunia komunikasi sosial diramal menjadi lebih mencabar dengan kehadiran pentas komunikasi yang serba bebas seperti laman jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter misalnya. Walaupun terdapat banyak kebaikannya, tetapi ia juga mampu memberikan impak yang negatif jika medium itu disalahgunakan.

Dalam dunia akademik dan penyelidikan pula, sejak daripada awal hingga ke penghujung kurun ke-20, daripada Lippmann ke Lazarsfeld ke Lasswell dan lain-lain, kita dapati bahawa hampir ke semua penemuan-penemuan di dalam ilmu komunikasi telah dipelopori dan diterajui oleh para intelektual dan sarjanawan dari negara-negara Barat. Kita tidak menafikan sumbangan golongan intelektual ini malah kita menghargai sumbangan tokoh-tokoh tersebut, tetapi dalam pada masa yang sama, persoalan yang wajar ditanya ialah, sampai bila kita hanya ingin menjadi pengikut?

Mungkin sudah sampai masanya para intelektual di sebelah Timur amnya, dan intelektual-intelektual muda di negara kita khususnya, melihat dengan lebih jauh ke depan untuk menerajui penemuan-penemuan baru di dalam bidang komunikasi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Syarahan Perdana yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media pada hari ini, yang akan disampaikan sebentar lagi oleh Prof Dr Nina adalah bertujuan untuk memberikan satu pandangan atau perspektif baru dalam ilmu dan falsafah komunikasi. Berbekalkan dengan pengamatan, penglibatan dan penyelidikan dalam ilmu komunikasi selama lebih 4 dekad, beliau akan merungkai dan membahas ilmu dan falsafah komunikasi daripada pecahan akar, dahan dan rantingnya, atau seperti mana yang beliau namakan, ’Pohon Komunikasi’.

Saya juga turut dimaklumkan bahawa antara kandungan terpenting di dalam pohon komunikasi itu yang akan dikongsi dengan lebih terperinci di dalam syarahan beliau ialah hubungkait antara ilmu komunikasi dengan ilmu-ilmu daripada disiplin sains; seperti sains tulen dan teknologi. Beliau juga akan menjelaskan dengan lebih mendalam bahawa sesungguhnya ilmu komunikasi itu sifatnya adalah berakar daripada ilmu-ilmu sains, seperti biologi, fizik, matematik dan sebagainya.

Maka, bagi tujuan mengisi dan berkongsi ruang ilmiah ini bersama warga akademik dan pelajar Pasca-Sarjana dan Sarjana UiTM, pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM mengambil inisiatif untuk menganjurkan syarahan perdana ini yang antara lainnya akan membicarakan falsafah dan ilmu komunikasi atau pohon komunikasi menurut pengamatan dan penglibatan Prof Dr Nina.

Labels: ,


Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009