Shahnon.com
Home | About | Blog | Bahasa Melayu | Archives | Academic | Pictures | Store | Contact

Sunday, November 15, 2015

 

Quo Vadis Sastera Melayu Moden?

Sebelum era penerbitan buku "indie" yang merevolusikan pasaran penerbitan buku negara (2010 - kini) dan sebelum era populariti Penerbitan PTS dengan karya-karya Islamiknya seperti buku-buku Abdul Latip Talib; novel sastera Melayu moden (gambar) adalah "trend" pada tahun-tahun sekitar lewat 1990an - 2008.

Kalau dulu karya-karya pemenang anugerah seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sako dan karya anugerah yang lainnya seperti Anugerah Sastera Darul Iman dsb amat berprestij dan judul-judulnya mudah didapati di kedai-kedai buku utama seperti MPH.

Antara pengarang tersohor pada zaman tersebut ialah Faisal Tehrani. Siapa yang tak kenal novel "1515" beliau yang memenangi anugerah HSKU 2002 (FT hari ini berbeza daripada dulu).

Malangnya hari ini prestij dan populariti anugerah sebegini semakin pudar. Penerbitan buku dan novel "indie" tidak salah, tetapi ia bukan pengganti kepada genre sastera Melayu moden. 

Mana mungkin karya-karya indie yang tunggang-langgang berceramuk struktur penulisan dan bahasa, tatabahasa dan nilainya, mampu diangkat sebagai naskhah rujukan di sekolah.

Maka itu persoalannya, quo vadis?

 [Nota gambar (antara beberapa koleksi peribadi):
1. Novel fiksyen "Enrique" adalah berdasarkan sejarah pelayaran Panglima Awang mengelilingi dunia sebagai hamba/pembantu kepada kapten Ferdinand Magellan (kononnya manusia pertama keliling dunia).
2. "Bumi Harapan" tentang kisah sejarah awal Islam di Terengganu.
3. "Bukan Legasi Lalang" ialah fiksyen berdasarkan kisah pembunuhan Jebat oleh Tuah.
4. "Kabut dan Bulan Sabit di Demak" tentang pengislaman tanah Jawa.
5. "1515" ialah fiksyen penentangan panglima Melaka yang bangkit melawan Portugis.
6. "1511H" ialah fiksyen perang futuristik-Islamik pada tahun 2087.]

Sunday, April 19, 2015

 

Politik Pop


Jika tahun 1960-an terkenal dengan muzik Pop Yeh Yeh, tahun 1990-an pula barangkali adalah dekad berkembang pesatnya penerbitan buku bergenre "politik pop".


Ringkasnya, penulis-penulis "politik pop" adalah golongan penulis yang bukan  berlatarbelakangkan akademia. Nama-nama yang terkenal seperti S.H. Alattas (bukan Prof Alattas), Ahmad Lutfi Othman, Mohd Sayuti Omar dll.

Penerbitan buku sebegini makin rancak pada era pasca pemecatan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pasa tahun 1998, sehinggakan ada antaranya yang bukan saja diulang cetak, tapi turut dicetak rompak.

Jika buku-buku akademik selalunya mempunyai grafik buku yang bosan dan tidak menarik, antara ciri penting buku-buku politik pop ialah tumpuan pada kulit buku. Isi mungkin tidak seberapa, tapi grafik dan sensasi tajuk kulit buku ialah antara modal pelaris utama.

Di abad ke-21, genre "buku politik pop" sudah mati. Internet, blog dan media sosial pembunuhnya.

(Pertama kali dimuatnaik di laman Instagram)

Labels: , ,


Tuesday, June 18, 2013

 

Rekonsiliasi Nasional: Masalah, Cabaran dan Masa Depan Perpaduan Negara

Berikut adalah sedutan daripada teks ucapan penutup Seminar Rekonsiliasi Nasional yang telah disampaikan oleh Pengarah CMIWS di Hotel Grand Bluewave Shah Alam minggu lepas.
Hadirin sekalian,
Mungkin ada yang bertanya apakah makna “Rekonsiliasi” ini (atau dalam Bahasa Inggerisnya, “Reconciliation”?) Adakah ianya wujud dalam Bahasa Melayu? Jawapannya ya. Untuk makluman, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rekonsiliasi bermaksud “Perdamaian” atau “Perbaikan”. 
Maka, bertepatan dengan MAKNA “Rekonsiliasi”, penganjuran seminar yang julung kalinya diadakan ini lahir daripada keinsafan dan kesedaran bahawa perpaduan kaum di negara ini adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi, sesuatu yang tidak boleh diambil ringan atau dipandang enteng. Malahan ia merupakan komponen teras yang MENDASARI segala aspek pembangunan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan negara.
Justeru, sesuatu perlu dilakukan agar TERAS NEGARA ini – yakni perpaduan, keamanan dan keharmonian - tidak dirosakkan atau dimusnahkan oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab. UiTM amnya dan CMIWS khasnya, merasa terpanggil untuk menerajui dan menganjurkan program ilmiah sebegini dalam usaha untuk memupuk dan merapatkan kembali jurang-jurang yang ada sejajar dengan tema "Rekonsiliasi Nasional".
Ini juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak sendiri yang mahu mengembalikan usaha menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, terutamanya sekali setelah berakhirnya Pilihanraya Umum ke-13 yang paling sengit dalam sejarah; PRU yang juga disebut-sebut sebagai “Ibu Segala Pilihanraya”.
Cabaran perpaduan hari ini tidak sama seperti 10, 20 tahun dahulu atau pun 50 tahun dahulu. Cabaran yang wujud pada alaf baru ini makin getir dan mencabar. Ianya wujud dan hadir dalam pelbagai cirri dan bentuk. Cabaran globalisasi dan teknologi komunikasi baru seperti Internet dan rangkaian media sosial misalnya memberikan ruang kebebasan yang hampir mutlak di mana sesiapa saja mampu untuk menyuarakan sebarang pandangan pada bila-bila masa, di mana saja. 
Justeru, barangkali suatu formula baru bersepadu REKONSILIASI NASIONAL wajar diusahakan dan direncanakan bagi memastikan matlamat dan tindakannya sesuai dan relevan dengan era teknologi maklumat dan kehendak golongan muda hari ini.
Inilah juga antara sebahagian daripada peranan kecil dan sumbangan kami di CMIWS dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian ke arah melahirkan masyarakat generasi baru yang yang lebih berilmu, matang dan progresif pemikirannya, terutamanya sekali dalam usaha untuk membantu kerajaan dalam mencapai misi dan visi Wawasan 2020, yang tinggal kurang daripada 7 tahun lagi. 


Friday, May 10, 2013

 

Sinar Harian - CyberSecurity: Keselamatan alam siber negara terkawal

Hasil daripada wawancara ringkas bersama wartawan Bernama 3 hari sebelum Pilihanraya Umum ke-13 2013. Terdapat sedikit salah tafsir daripada apa yang saya cakap dengan apa yang wartawan lapor. Baru faham sedikit sebanyak kenapa kadang-kadang ahli politik sentiasa menyalahkan pihak media atas alasan, "salah petik" atau "salah tafsir". Ha ha.

4 Mei 2013 KUALA LUMPUR - Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) ini, namun CyberSecurity Malaysia memberi jaminan ia berada di tahap terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Aminuddin Abdul Wahab berkata pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.

"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari Internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama di sini.
Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
“Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan ‘share’, ‘like’, atau ‘forward’ maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah,” jelas Aminuddin.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Shahnon Mohamed Salleh berkata agak sukar untuk meramalkan sama ada akan berlaku serangan siber pada proses pengundian esok (5 Mei), namun kemungkinan serangan siber tidak hanya menyerang media sosial seperti Facebook dan Twitter tetapi juga e-mel.

"Objektif mereka melakukan serangan siber ini untuk 'melumpuhkan' sesuatu perisian bagi menyekat penyebaran maklumat supaya masyarakat tidak dapat memperoleh maklumat yang sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut beliau turut menjadi sasaran serangan siber adalah e-mel yang bertujuan untuk 'mencuri' maklumat daripada ahli-ahli politik yang menjadi sasaran utama.
Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.

Pengguna Internet boleh melapor sebarang insiden keselamatan siber kepada Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity secara atas talian melalui emel cyber999@cybersecurity.my atau laman sesawang .


Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menelefon hotline 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +6019-2665850 (kecemasan - 24 jam), melalui pesanan ringkas dengan menaip , dan hantar ke 15888 atau faks ke +603 8945 3442. - Bernama


CyberSecurity: Keselamatan alam siber negara terkawal

Labels: , ,


Monday, September 17, 2012

 

Berita Harian: Saluran TV ikut etnik lebarkan lagi polarisasi kaum

Wartawan Berita Harian yang hadir ke Seminar Antarabangsa WCIT 2012 di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak pada 12 September 2012 lalu telah (tanpa saya sedari dan tanpa dimaklumkan) melaporkan pembentangan kertas kerja saya seperti berikut:

Percambahan saluran televisyen mengikut budaya dan etnik ketika ini, terutama menerusi stesen berbayar dikhuatiri akan menjarakkan lagi polarisasi kaum di negara ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shahnon Mohamed Salleh, berkata ia kerana penonton televisyen biasanya lebih berminat untuk menonton rancangan yang sesuai dengan budaya dan cara hidup masing-masing, sekali gus tidak mendedahkan mereka dengan budaya kaum lain. Beliau memberi contoh, pelajar yang belajar di sekolah jenis kebangsaan di peringkat rendah dan menengah serta menyambung pengajian di universiti di Taiwan dan China, manakala di rumah hanya menonton rancangan bersesuaian dengan bahasa, identiti dan cara hidupnya.

Justeru, mereka tidak ada interaksi dengan bahasa, budaya dan cara hidup kaum lain, katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pengasingan Budaya Dalam Rangkaian Televisyen dan Kesannya Terhadap Pemahaman Antara Budaya: Kajian Kes Terhadap Astro di WCIT 2012 di sini, semalam.

Shahnon berkata, kurang pemahaman memahami budaya kaum lain terutama dalam kalangan generasi baru boleh merencatkan usaha menyatukan pelbagai kaum dalam masyarakat majmuk.

Beliau bagaimanapun berkata, sukar untuk menyalahkan rangkaian televisyen semata-mata kerana pihak berkenaan sebagai agensi swasta berpaksi kepada komersial dan keuntungan iaitu menyediakan rancangan yang boleh menarik ramai penonton.

Berikutan itu, Shahnon menyarankan rangkaian televisyen menambahkan rancangan sama ada drama atau dokumentari yang lebih bersifat 'Malaysia', agar tidak terperangkap dengan kesilapan era British yang melakukan pengasingan kaum sehingga mengurangkan interaksi antara rakyat.

Berita Harian: Saluran TV ikut etnik lebarkan lagi polarisasi kaum


Terima kasih Berita Harian. :)

Labels: ,


Tuesday, October 11, 2011

 

Pohon Komunikasi

Sekadar berkongsi. Berikut adalah petikan daripada teks ucapan Dekan yang telah saya sediakan sempena Syarahan Perdana Profesor Pelawat, Prof Dr Nina dari Universitas Padjajaran, Indonesia.

----------

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dunia komunikasi hari ini berkembang dengan kadar yang amat pesat sekali. Sama ada secara langsung ataupun tidak, hal ini terjadi akibat daripada pesatnya perkembangan teknologi di dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan. Secara perbandingan, jika televisyen suatu ketika dulu mengambil masa 13 tahun untuk mencapai jumlah 50 juta penonton, Internet hanya memerlukan 4 tahun sahaja untuk mencecah 50 juta pengguna.

Namun begitu, kehadiran teknologi media baru ini tidaklah semuanya indah belaka. Cabaran dan masa depan dunia komunikasi sosial diramal menjadi lebih mencabar dengan kehadiran pentas komunikasi yang serba bebas seperti laman jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter misalnya. Walaupun terdapat banyak kebaikannya, tetapi ia juga mampu memberikan impak yang negatif jika medium itu disalahgunakan.

Dalam dunia akademik dan penyelidikan pula, sejak daripada awal hingga ke penghujung kurun ke-20, daripada Lippmann ke Lazarsfeld ke Lasswell dan lain-lain, kita dapati bahawa hampir ke semua penemuan-penemuan di dalam ilmu komunikasi telah dipelopori dan diterajui oleh para intelektual dan sarjanawan dari negara-negara Barat. Kita tidak menafikan sumbangan golongan intelektual ini malah kita menghargai sumbangan tokoh-tokoh tersebut, tetapi dalam pada masa yang sama, persoalan yang wajar ditanya ialah, sampai bila kita hanya ingin menjadi pengikut?

Mungkin sudah sampai masanya para intelektual di sebelah Timur amnya, dan intelektual-intelektual muda di negara kita khususnya, melihat dengan lebih jauh ke depan untuk menerajui penemuan-penemuan baru di dalam bidang komunikasi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Syarahan Perdana yang dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media pada hari ini, yang akan disampaikan sebentar lagi oleh Prof Dr Nina adalah bertujuan untuk memberikan satu pandangan atau perspektif baru dalam ilmu dan falsafah komunikasi. Berbekalkan dengan pengamatan, penglibatan dan penyelidikan dalam ilmu komunikasi selama lebih 4 dekad, beliau akan merungkai dan membahas ilmu dan falsafah komunikasi daripada pecahan akar, dahan dan rantingnya, atau seperti mana yang beliau namakan, ’Pohon Komunikasi’.

Saya juga turut dimaklumkan bahawa antara kandungan terpenting di dalam pohon komunikasi itu yang akan dikongsi dengan lebih terperinci di dalam syarahan beliau ialah hubungkait antara ilmu komunikasi dengan ilmu-ilmu daripada disiplin sains; seperti sains tulen dan teknologi. Beliau juga akan menjelaskan dengan lebih mendalam bahawa sesungguhnya ilmu komunikasi itu sifatnya adalah berakar daripada ilmu-ilmu sains, seperti biologi, fizik, matematik dan sebagainya.

Maka, bagi tujuan mengisi dan berkongsi ruang ilmiah ini bersama warga akademik dan pelajar Pasca-Sarjana dan Sarjana UiTM, pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM mengambil inisiatif untuk menganjurkan syarahan perdana ini yang antara lainnya akan membicarakan falsafah dan ilmu komunikasi atau pohon komunikasi menurut pengamatan dan penglibatan Prof Dr Nina.

Labels: ,


Tuesday, November 16, 2010

 

The Social Network!

Blog entri kali ini adalah satu cubaan untuk memenangi tiket percuma filem 'The Social Network'. Tak sabar nak menonton!

Ingin mengetahui bagaimana Facebook bermula? Filem ini menceritakan bagaimana, seorang mahasiswa Harvard dan genius dalam pengaturcaraan komputer, Mark Zuckerberg membina rangkaian sosial dunia yang merevolusikan komunikasi. Antara pelakon-pelakon terkenal adalah seperti JESSE EISENBERG, ANDREW GARFIELD, JUSTIN TIMBERLAKE, ARMIE HAMMER and JOSH PENCE, dan ramai lagi. Filem ini adalah berdasarkan sebuah buku bertajuk "The Accidental Billionaires" oleh Ben Mezrich.



Untuk keterangan lanjut mengenai filem ini dan bagaimana untuk mendapat tiket-tiket percuma, sila lawati Peraduan Blogger Filem "The Social Network".



Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 2 Disember 2010!



Terima kasih ManggaOnline!

Labels:


Archives

February 2010   March 2010   May 2010   August 2010   September 2010   November 2010   October 2011   September 2012   May 2013   June 2013   April 2015   November 2015  

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]

 

 

 

 
shahnon.com © 2002 - 2009